Friday, July 21, 2023

YASIN 5

  

YASIN 36:5

 

تَنْزِيلَ الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ (5)

Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 4

AYAT 5

 

Nabi Muhammad itu berada atas jalan yang lurus.

 

 

Sudah pasti lurus, kerana sumber Nabi Muhammad adalah al-Quran yang bijaksanaan; ia datang dari Allah yang maha gagah lagi maha penyayang

 

 

[1] Apabila al-Quran itu adalah kebijaksanaan. Kebijaksanaan itu terpamer dari sudut perilaku Nabi Muhammad saw; kedua-dua unsur ini untuk membawa manusia agar selamat dan sejahtera, maka Allah pun sebut dalam ayat ini bahawa manusia dapat keselamatan dan sejahtera itu kerana ia datang dari Allah yang maha gagah lagi maha penyayang.

 

[2] Allah menyebut namanya yang MAHA GAGAH kerana kebijaksanaan itu tidak akan dapat dirasai hanya sekadar dalam kerangka teori. Justeru, perlu sampai ke tahap praktikal, baru manusia akan dapat kecapi hikmah al-Quran tersebut.

 

[3] Dalam pada menyebut sifatNya yang MAHA GAGAH, digandingkan pula dengan sifat

 

تَنْزِيلَ الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ (5)

 

[4] ayat ini sebagai menjelaskan bagi ayat: وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ, iaitu al-Quran itu adalah kitab yang bijaksana kerana ia datang dari Allah.

 

[5] al-Quran itu diturunkan dari Allah yang maha gagah lagi maha penyayang. Apabila Allah itu maha gagah, bermakna makhluk tidak boleh buat sesuka hati terhadap Allah. Apabila Allah maha penyayang, bermakna Allah akan memberi belas ehsanNya kepada orang yang boleh taat perintahNya.

 

[6] al-Muqatil mentafsirkan:

(a)                Apabila Allah menampilkan bahawa Dia yang maha gagah, iaitu menampilkan kekuasaanNya.

(b)               Lalu, menampilkan bahawa Dia MAHA PENYAYANG, iaitu menampilkan ehsanNya kepada makhlukNya[1].

 

[6] Persoalan: Dari sudut konteks ayat, kenapa dibataskan pada dua nama Allah ini?

Jawab:

Apabila al-Quran itu diturunkan dari yang maha gagah, sudah pasti manusia akan takut untuk tidak ikut al-Quran.

Justeru, Usaimin kata, ia sebagai isyarat bahawa wajib beramal dengan al-Quran[2].

Namun, dalam mengamalkan al-Quran, faktor ketakutan tidak cukup untuk capai keikhlasan. Justeru, dipamerkan sifat rahim agar faktor kasih sayang itu boleh melahirkan rasa ikhlas dalam melakukan taat.

Dalam tafsiran Usaimin pula, al-Quran diturunkan untuk kebaikan makhluk. Itulah tanda kasih sayang Allah kepada makhluk dengan turunnya al-Quran[3].

 

[7] Apabila dipamerkan pada dua sifat ini, di situ sudah nampak kebijaksanaan yang ada dalam al-Quran.

 

[8] Persoalan; Dalam ayat disebut “menurunkannya” tidak sebut datang dari Allah yang maha bijaksana تنزيل العزيز الحكيم atau تنزيل الحكيم الخبير dll. Antara hikmahnya adalah;

a.                  Setiap ungkapan kata dalam al-Quran semestinya ada kebijaksanaan disebalik maknanya.

b.                  Al-Quran tidak akan bercakap dalam hal-hal remeh.

Justeru, hikmah digunakan dua nama ini, tanpa menggunakan perkataan “Menurunkannya adalah Allah yang bijaksana”, adalah kerana;

a.                  Disebut Allah yang maha gagah, menggambarkan hikmah al-Quran itu tidak dapat dikecapi secara mutlak hanya kerana dari sudut teori. Ia akan dapat dirasai apabila sampai kepada praktikal.

b.                  Disebut Allah yang maha penyayang, kerana tidak cukup sekadar perlaksanaan, jika dalamnya tidak ada unsur kasih sayang. Justeru, dalam pada perlaksanaan, perlu disertakan juga rasa sayang.

c.                   Justeru, dua nama Allah ini dipamerkan; disebaliknya terangkum dalam maksud al-Quran yang maha bijaksana.

 

 

 



[1] Zad:3/517.

[2] Usaimin:18

[3] Usaimin:18.

YASIN 4

  

YASIN 36:4

 

عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (4)

Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam).

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 3

AYAT 4

 

Nabi Muhammad salah seorang utusan Allah (Rasul)

 

 

Apabila utusan Allah, pasti berada atas jalan yang lurus

 

[1] Sesungguhnya Nabi Muhammad itu salah seorang dari para rasul yang diutuskan, sudah pasti Nabi Muhammad itu berada atas jalan yang lurus.

Tidak munasabah, jika diakui bahawa Muhammad itu sebagai utusan Allah tetapi tidak diakui pula dia sebagai benar.

 

عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (4)

 

[2] TERJEMAHAN

HAMKA: “atas jalan yang lurus”

SAYA: (al-Quran yang bijaksana serta Nabi yang benar-benar utusan Allah itu) berada atas jalan yang lurus (yang boleh sampai ke syurga)

 

[3] Asal bagi perkataan صراط adalah سراط. Perkataan سرط asal maknanya adalah MENELAN.

Justeru, ia boleh dimaknakan sebagai JALAN YANG LEBAR sehingga MENELAN si pejalan.

Dalam al-Quran, perkataan صراط digunakan lafaz tunggal. Namun, di sana ada perkataan yang diterjemah sebagai jalan, iaitu perkataan سبيل yang terdapat juga penggunaan kata jamak, iaitu سبل. Ia memberi maksud, apabila disebut صراط, ia pasti benar. Namun, apabila disebut perkataan سبيل, mungkin sahaja benar dan mungkin sahaja salah[1].

 

[4] Ayat ini ada iras dengan ayat;

وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (52) - الشوري

Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus

 

[5] maksud berada atas jalan yang lurus;

a.      Ibn kathir kata, atas manhaj dan agama yang betul serta syariah yang lurus[2].

b.      Menurut USAIMIN, ayat sebelum menyebut bahawa Nabi Muhammad saw itu salah seorang para rasul, sedangkan para rasul dahulu memperjuangkan konsep tauhid dan petunjuk. Justeru, maksud “jalan lurus” dalam ayat ini adalah perjuangan Nabi Muhammad sama dengan perjuangan para nabi dahulu, iaitu tauhid dan hidayah[3].

 

[6] Menurut Hamka, jalan lurus itu perlu bermula dari dalam jiwa kita terlebih dahulu. Apabila jiwa kita sudah jelas tujuan, sudah pasti sebarang ombak yang bergelora tidak menghalang untuk kita sampai ke destinasi yang mahu kita capai[4].



[1] shihab:8/506.

[2] Kathir:6/563

[3] Usaimin:13.

[4] Hamka:8/5971

YASIN 3

  

YASIN 36:3

 

إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (3)

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 2

AYAT 3

 

Al-Quran adalah sumber kebijaksanaan

 

 

Kebijaksanaan al-Quran dari sudut praktikal adalah dilihat pada Nabi Muhammad saw

 

 

[1] Dalam ayat sebelum, dinyatakan bahawa al-Quran adalah sumber kebijaksanaan.

Justeru, ayat ini memberitahu bahawa kebijaksanaan al-Quran itu semakin jelas melalui penjelasan dari Nabi. Tanpa Nabi Muhammad, penjelasan al-Quran masih kabur.

 

[2] Ayat ini diturunkan selepas dari sejarah Nabi berjumpa dengan Jin yang dengan itu, jin mula memeluk islam. Kejadian ini berlaku selepas dari Nabi ke Taif. Bermaksud, ayat ini diturunkan sekitar dalam 3 tahun sebelum hijrah.

Pada masa itu, penentangan terhadap Nabi saw begitu juga. Antara penentangan yang mereka lakukan adalah menolak bahawa Nabi saw ada utusan Allah. Justeru, ayat ini diturunkan untuk menegaskan bahawa Nabi itu benar-benar utusan Allah.

 

إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (3)

 

[3] TERJEMAHAN:

Hamka: “Sesungguhnya engkau adalah termasuk orang-orang yang diutus”

Saya: (al-Quran itu punyai seribu satu kebijaksanaan. Kebijaksanaan itu bukan biasa-biasa, bahkan ia datang dari) engkau (wahai Muhammad) yang merupakan salah seorang dari kalangan orang yang diutuskan menjadi rasul

 

[4] Dalam ramai-ramai Nabi, salah seorang nabi yang diutuskan Allah itu adalah Nabi Muhammad saw. Justeru, jika mereka boleh imani Nabi Ibrahim, kenapa mereka tidak boleh percaya bahawa ada zuriat Nabi Ibrahim yang menjadi Nabi dari bangsa mereka sendiri, iaitu Nabi Muhammad saw.

 

[5] Dalam ayat ini, ada 2 ta’kid;

(1)               Perkataan إن

(2)               Perkataan ل pada لمن

Justeru, ayat ini adalah satu penegasan bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah yang tidak boleh diingkari lagi

YASIN 2

  

YASIN 36:2

 

 وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ (2)

Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh

 

[1] perkataan و pada وَالْقُرْآنِ  adalah واو القسم, iaitu و yang bermakna sumpah. Dalam bahasa melayu diterjemahkan sebagai “demi”.

Sumpah tidak akan berlaku kecuali ia serius dan penting. Justeru, apabila Allah mulakan dengan bersumpah atas nama al-Quran, menandakan al-Quran adalah sesuatu yang penting dan serius.

 

[2] Perkataan al-Quran, USAIMIN kata berasal dari;

(a)                Dari perkataan قرأ (membaca). Hal ini kerana, al-Quran adalah kitab yang dibaca.

(b)               Bermakna perhimpunan. Ekoran itu, ada perkataan قرية (kampung) kerana kampung adalah tempat himpunan manusia.

Menurut USAIMIN, al-Quran mempunyai dua sifat tersebut; iaitu ia adalah HIMPUNAN kata-kata ilahi yang perlu DIBACA yang TERHIMPUN dalamnya segala KEBAIKAN[1].

 

[3] Perkataan الحكيم yang diterjemah dengan YANG MAHA BIJAKSANA. Nisbah kepada makhluk yang hidup, bijaksana disandarkan kepada YANG BERAKAL. Justeru, seakan-akan dia berkata: kalau kamu tengok orang bijaksana, maka kebijaksanaan itu dapat diambil dari al-Quran[2].

 

[4] Berkenaan MAHA BIJAKSANA AL-QURAN, SHIHAB menyatakan, ada pentafsiran berikut;

(a)                 al-Quran ini adalah kalamullah yang bijaksana yang bersifat Qadim.

(b)               Jika dilihat dari sudut metafora, ia memberi maksud bahawa al-Quran itu mempunyai roh, iaitu sesiapa yang meneliti dan cermati al-Quran, mereka akan jumpa kebijaksanaan[3].

USAIMIN menambah lagi;

(c)                Hukum-hukum dalam al-Quran bersifat adil serta selaras dengan fitrah dan akal sarih. Dengan sebab itu, tidak ada hukum dalam a-Quran yang mustahil pada akal dan menyalahi fitrah.

(d)               Uslub al-Quran yang saling menguatkan antara satu dengan yang lain[4]. 

QURTUBI kata;

(e)               Ia tidak berlaku percanggahan antara satu ayat dan ayat al-Quran yang lain[5].

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا (82) – النساء (4)

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya”

IBN KATHIR kata:

(f)                 Kandungan al-Quran yang tidak ada sebarang kebatilan, walaupun sedikit[6].

 

[5] Memandangkan al-Quran itu terkandung KEBIJAKSANAAN, sebab itu sebarang perselisihan perlu dirujuk kepada al-Quran. Firman Allah;

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا (59) – النساء (4)

 “Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya[7].

 

[6] HAMKA kata, maksud dengan bijaksana al-Quran adalah;

(a)                Bijaksana dari sudut kandungannya.

(b)               Bijaksana dari sudut susunan kata dan ayatnya[8]. 

 

PENGAJARAN

 

Al-Quran ini mempunyai kebijaksanaan tersendiri. Apatah lagi, kebijaksanaan manusia datang dari proses akal yang berfikir ekoran interkasi pancaindera dan alam. Dengan itu, al-Quran sebagai mekanisma untuk menggerakkan akal untuk mencapai kebijaksanaan.

 

 



[1] Usaimin, yasin, 10.

[2] Razi:26/251.

[3] Shihab:11/505

[4] Usaimin, yasin, 11

[5] Qurtubi:15/5

[6] Kathir:6/ 563

[7] Usaimin, Yasin, 11

[8] Hamka:8/5970

YASIN 9

    YASIN 36:9   وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ ...