Friday, September 15, 2023

YASIN 9

 

 

YASIN 36:9

 

وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ (9)

Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 8

AYAT 9

 

Allah jadikan orang yang ingkar ajaran agama ini dalam keadaan kepala mereka mendongak.

 

 

Allah tambah lagi azab, iaitu mereka disekat di hadapan dan belakang sehingga mereka tidak dapat melihat kebenaran lagi.

 

 

MUQADDIMAH

[1] Apabila tengkok mereka sudah mendongak, maka mereka tidak nampak jalan hadapan untuk mereka berjalan[1], tetapi mata mereka tidak buta. Justeru, masih dapat melihat lagi.

 

Namun, azab itu ditambah lagi, walaupun mereka tidak buta, tetapi tuhan tidak bagi mereka dapat melihat, maka tuhan bagi sekatan di hadapan dan di belakang mereka.

 

Maka, dalam pada mata mereka tidak buta, mereka tetap tidak dapat melihat.

 

SEKATAN DI HADAPAN DAN BELAKANG

[2] Berkenaan maksud sekatan di hadapan dan belakang, ulama ada memberikan beberapa tafsiran;

 

 

 

Ia merujuk kepada kisah bahawa apabila Abu Jahal gagal hempap batu kepada kepala Nabi, dia pun pulang kepada kaum MAKHZUM, dia pun menyebut kejadian yang telah menimpanya.

 

 Makanya, AL-WALID BIN AL-MUGHIRAH pula pergi kepada Nabi saw untuk melakukan perkara yang sama dilakukan oleh ABU JAHAL. Ketika itu, Allah jadikan kedua matanya buta.

 

AL-QURTUBI ada membawakan riwayat IBN ISHAQ yang menyebut bahawa UTBAH BIN RABIAH, SYAIBAH BIN RABIAH, ABU JAHAL dan ABU UMAYYAH memerhatikan – mengintai-intai Nabi saw untuk menyakiti Nabi. Nabi saw keluar dalam keadaan membaca Yasin yang ketika itu, tangan baginda ada tanah. Nabi pun melempar tanah tersebut ke arah mereka sambil membaca ayat ini. Nabi pun melintasi mereka dengan mereka tidak sedar telah memberi ruang untuk nabi melintasi mereka[2].

 

[3] Ada pula ulama tafsirkan bahawa mereka nampak kebenaran, tetapi kebenaran itu tidak masuk ke dalam hati mereka.

 

Ada pula kata, mereka nampak kebenaran, tetapi hati mereka masih berbelah bahagi untuk terima kebenaran tersebut.

 

Ada pula kata, mereka terus berada dalam kesesatan, walaupun mereka secara jelas nampak kebenaran tersebut.

 

[4] Ada pula kata, memandangkan mereka tidak mahu mendengar dan melihat kebenaran tersebut, makanya tuhan pun terus tutup hati mereka dari mengenali kebenaran. Dan kesannya, mereka mendapat azab di akhirat kelak.

 

وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا

 

Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada)

 

[5] AL-BIQAIE menyatakan, ini adalah tambahan seksaan yang mereka dapat; iaitu, dalam ayat lepas dinyatakan bahawa mereka terbelenggu, iaitu orang yang terbelenggu tangannya ke dagu, dia masih dapat melihat dan boleh jadi ia dapat berjalan.

 

Makanya dalam ayat ini pula menyebut bahawa ditambahkan lagi seksaan itu, apabila mereka di halang disekat di bahagian hadapan mereka yang menyebabkan mereka tidak dapat melihat. Dan kalaupun dapat berjalan, kadar jalan itu hanya beberapa langkah sahaja, kerana dihalang oleh dinding yang menyekat di bahagian hadapan dan di bahagian belakang mereka[3].

 

[6] menurut RAZI, mereka diletakkan penghalang di hadapan dan di belakang, itu sebagai bandingan bahawa mereka memandang ayat-ayat Allah[4].

 

Menurut SHIHAB, itu menandakan bahawa pancaindera mereka tidak berfungsi untuk mengenal kebenaran[5].

 

[7] maksud dengan ada sekatan di hadapan dan belakang;

a.       AL-DHAHHAQ kata, adalah sekatan di dunia, iaitu tidak nampak kebenaran syariah. Dan sekatan di belakang, bermaksud sekatan di akhirat, iaitu mereka buta dari jumpa jalan ke syurga[6].

b.      Ada kata, sekatan di dunia iaitu mereka tertipu dengan kehidupan dunia. Dan sekatan di akhirat pula, mereka mendustakan kehidupan di akhirat[7].

c.       MUJAHID kata, dia taraddud (ragu-ragu) terhadap kebenaran[8].

d.      QATADAH kata, tertutup kerana mereka berada dalam kesesatan[9].

 

وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا

 

di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat).

 

[8] kalau di hadapan mereka ada sekatan, dan di belakang mereka juga ada sekatan, bermaksud mereka hanya berputar di tempat di kawasan-kawasan mereka sahaja.

 

فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ (9)

 

lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)

 

[9] Di sini adalah BAYAN bagi makna sekatan di hadapan dan belakang mereka; iaitu;

(a)                pada permulaannya tengkok mereka terdongak kerana dibelenggu. Ia merujuk kepada kesombongan terhadap mendengar kebenaran[10].

(b)                Lalu, mereka tidak dapat melihat di hadapan dan belakang. Kesan dari kesombongan itu, mereka tidak dapat melihat kebenaran dari sumber wahyu.

(c)                Lama kelamaan, pandangan mereka itu ditutup sehingga mereka tidak dapat melihat lagi. Iaitu, hati mereka terkunci mati dari menerima kebenaran.

 

[10] perkataan فَأَغْشَيْناهُمْ digunakan juga dalam ayat lain;

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (7) – البقرة

(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar

 

[11] Apabila terhalang di hadapan dan di belakang mereka, maka mereka tidak akan dapat menerima segala inzar (janjian azab) agar mereka berhenti dari kesesatan[11].

 

[12] IBN ABBAS, IKRIMAH dan YAHYA BIN YA’MUR membaca dengan huruf ع, iaitu فَأَعْشَيْنَاهُمْ yang ia berasal dari kata الْعَشَاءِ. Ia bermaksud lemah pandangan mata hingga tidak dapat melihat pada waktu malam[12].

 

[13] Dalam ayat sebelum, disebutkan bahawa bagi orang yang dikenakan azab itu terhalang di hadapan dan belakang mereka, maka apabila sudah terhalang, sudah pasti tertutup terus.

 

Kata IBN KATHIR, apabila mereka tidak dapat melihat, bermakna mereka tidak dapat ambil manfaat dari kebaikan dan mereka tidak dapat hidayah dari kebenaran[13].

 

Dalam menjelaskan makna ayat ini, ABDUL RAHMAN BIN ZAID BIN ASLAM berkata: Allah jadikan sekatan mereka antara iman dan islam, seterusnya mereka tidak ikhlas dengan iman dan islam tersebut. Lalu dia bacakan firman Allah;

{إِنَّ الَّذِينَ حَقَّتْ عَلَيْهِمْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ وَلَوْ جَاءَتْهُمْ كُلُّ آيَةٍ حَتَّى يَرَوُا الْعَذَابَ الألِيمَ} [يونس: 96، 97]

Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman * Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya

 

Setelah membacanya, dia pun berkata: Barangsiapa yang Allah halang dia, maka dia tidak akan mampu untuk mendapat kebenaran[14].

 

IKRIMAH kata sepertimana dalam riwayat IBN JARIR: Abu Jahal kata, jika aku nampak Muhammad, aku akan lakukan begini begini. Lalu turun ayat 8 – 9. Mereka pun berkata: itu Muhammad. Dia pun tanya: mana dia? Mana dia?[15]

 



[1] Razi:26/255

[2] Qurtubi:15/10

[3] Shihab:11/511

[4] shihab:11/511

[5] shihab:11/511

[6] Qurtubi:15/10

[7] Qurtubi:15/10

[8] Kathir:6/564

[9] Kathir:6/564

[10] Qurtubi:15/9

[11] Zad:3/519

[12] Qurtubi:15/10 | Kathir:6/564

[13] Kathir:6/564

[14] Kathir:6/564

[15] Kathir:6/564

YASIN 8

 

YASIN 36:8

 

إِنَّا جَعَلْنَا فِي أَعْنَاقِهِمْ أَغْلَالًا فَهِيَ إِلَى الْأَذْقَانِ فَهُمْ مُقْمَحُونَ (8)

Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 7

AYAT 8

 

Kebanyakkan manusia tidak beriman dengan kebenaran.

 

 

Mereka diumpamakan orang yang tengkok terbelenggu sehingga tidak dapat melihat kebenaran.

 

 

MUQADDIMAH

[1] Setelah Allah menjelaskan berkenaan azab yang bakal diberikan kepada orang yang tidak beriman, Allah menjelaskan pula punca mereka layak kena azab terbabit.

 

Iaitu, apabila mata dan pendengaran hati mereka sudah terkunci dari kebenaran.

 

TANGAN TERBELENGGU DI BAWAH DAGU

[2] Allah menyatakan bahawa Allah jadikan belenggu pada dagu mereka. Maksud belenggu pada dagu itu, ada riwayat dari seorang ulama bernama ABDULAH BIN YAHYA yang menyebut bahawa SAIDINA ALI jelaskan caranya; iaitu beliau ambil dua tangan dan diletakkan bawa janggutnya. Kemudian, dijadikan kepalanya terdongak.

 

[3] kepala terdongak itu, digunakan lafaz مقمح. Asal perkataannya adalah قمح yang asalnya merujuk kepada unta yang mahu makan dan minum, untuk menelan makanan, unta terbabit akan dongakkan kepalanya agar makanan itu lancar masuk dalam halkumnya.

 

[4] Dalam kalangan ulama tafsir, ada dua kupasan berkenaan tangan mereka terbelenggu pada dagunya itu?

 

Ada pula kata, ia merujuk kepada kejadian yang berkaitan dengan Abu Jahal yang amat benci Nabi Muhammad. Dengan kebencian itu, dia menyatakan hasrat untuk menghempapkan batu pada kepala Nabi.

 

Satu hari, ketika dia nampak Nabi saw sedang solat. dia ambil batu dan mahu hempap pada kepala Nabi. Tetapi, semasa dia angkat batu yang besar, kepalanya terdongak dan dia tidak dapat hendak menunduk dalam keadaan batu berada di atas. Dalam keadaan begitu, batu tersebut terjatuh.

 

Walaubagaimana pun, ada ulama ulama kata, ia merujuk kepada keadaan mereka di akhirat bahawa mereka akan terdongak ketika berhadapan dengan Allah sebagai orang bersalah.

 

Iaitu, perkataan dongak ini agak sinonim dengan maksud orang yang berjalan sombong. Justeru, jika di dunia bahawa mereka dongak (sombong) dengan kebenaran, maka akhirat kelak mereka akan mendongak di hadapan Allah.

 

إِنَّا جَعَلْنَا فِي أَعْنَاقِهِمْ أَغْلَالًا

 

Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka;

 

[5] SHIHAB kata, ayat ini adalah PERUMPAMAAN; iaitu apabila mereka tidak dapat menerima kebenaran, maka mereka bagaikan orang yang lehernya terbelenggu yang menyebabkan mereka tidak dapat menunduk dan tidak bebas menunduk atau menoleh ke kanan dan ke kiri[1].

 

[6] perkataan اغلالا  diterjemah oleh HAMKA[2] dan SHIHAB[3] dengan “belenggu-belenggu”, dalam terjemahan BASMEH pula, diterjemah dengan: belenggu yang memberkas kedua tangan mereka”

 

Menurut Usaimin, perkataan اغلال dari kata الغل yang ia tidak berlaku kecuali dengan tangan. Hal ini merujuk kepada firman Allah;

وَقَالَتِ الْيَهُودُ يَدُ اللَّهِ مَغْلُولَةٌ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ (64) – المائدة

Dan orang-orang Yahudi itu berkata: "Tangan Allah terbelenggu (bakhil - kikir)", tangan merekalah yang terbelenggu[4].

 

[7] Dalam kalangan ulama, ayat ini difahami dengan dua;

a.      Majaz. Menurut HAMKA, yang dimaksudkan dengan belenggu adalah mereka terbelenggu dengan adat istiadat, kepercayaan yang salah, kesyirikan dan kebebalan[5].

b.      Hakikat. Tabtabie menyatakan, ayat ini difahami secara HAKIKAT kerana ia menggambarkan azab yang bakal ditimpa di alam akhirat kelak[6]. hal ini dikuatkan dengan firman Allah;

أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ الْأَغْلَالُ فِي أَعْنَاقِهِمْ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (5)- الرعد

Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya

 

الَّذِينَ كَذَّبُوا بِالْكِتَابِ وَبِمَا أَرْسَلْنَا بِهِ رُسُلَنَا فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ (70) إِذِ الْأَغْلَالُ فِي أَعْنَاقِهِمْ وَالسَّلَاسِلُ يُسْحَبُونَ (71) فِي الْحَمِيمِ ثُمَّ فِي النَّارِ يُسْجَرُونَ (72) – غافر

Iaitu orang-orang yang mendustakan Al-Quran dan segala yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus; maka mereka akan mengetahui kelak * Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret * Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka

 

وَقَالَ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا بَلْ مَكْرُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ إِذْ تَأْمُرُونَنَا أَنْ نَكْفُرَ بِاللَّهِ وَنَجْعَلَ لَهُ أَنْدَادًا وَأَسَرُّوا النَّدَامَةَ لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ وَجَعَلْنَا الْأَغْلَالَ فِي أَعْنَاقِ الَّذِينَ كَفَرُوا هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (33) – سباء

“Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: "Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan”

 

فَهِيَ إِلَى الْأَذْقَانِ فَهُمْ مُقْمَحُونَ (8)

 

lalu menjadilah mereka terdongak. (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka

 

 

[8] Perkataan مُقْمَحُونَ, HAMKA[7] dan SHIHAB[8] terjemah dengan TERTENGADAH, Sedangkan BASMEH terjemah dengan “TERDONGAK”.

 

[9] Dari sudut asal kata, ia dari kata قمح yang asalnya bermaksud “mengambil sesuatu dengan tapak tangan, lalu menelannya”. Perkataan ini sering digunakan untuk merujuk kepada unta yang haus tetapi tidak dapat minum. Justeru, ia dimaknakan sebagai “mendongakkan kepala untuk menelan sesuatu tetapi tidak mampu[9]

 

Menurut IBN AL-JAWZI, kalau unta minum air. Lalu ia mendongakkan kepalanya. Itu disebut dengan بعير قامح dan ابل قماح.[10]

 

Dalam penjelasan ZAMAKHSYARI, ia bermaksud kepala mendongak dalam keadaan mata mahu menunduk mahu melihat[11]. Penjelasan yang sama disebut oleh AL-QURTUBI[12].

 

ABDULLAH BIN YAHYA meriwayatkan bahawa SAIDINA ALI perlihatkan kepada mereka cara الإقماح, iaitu dua tangannya diletakkan pada janggutnya dan dia pun dongakkan kepalanya[13].

 

[10] Dalam penjelasan AL-BIQAIE, ia adalah perumpamaan berkenaan keangkuhan orang yang derhaka dengan ajaran Tuhan; iaitu mereka angkat kepala ketika pendakwah menyeru mereka kepada kebenaran[14].

 

RAZI kata, ia adalah kinayah terhadap Allah halang mereka dari menerima hidayah[15].

 

[11] Hamka mengatakan, belenggu yang berada di bawah dagu mereka itu terlalu tebal. Itu yang menyebabkan mereka terdongak[16].

 

[12] Dalam kupasan AL-RAZI, Ia menggambarkan keengganan mereka dari memandang ayat-ayat Allah yang terdapat dalam diri mereka sendiri. Itu yang dimaksudkan dengan mereka terdongak[17].

 

[13] SEBAB TURUN: ada riwayat lemah menyatakan, ayat ini diturunkan berkaitan dengan BANI MAKHZUM. Hal ini kerana, ABU JAHAL bersimpah bahawa jika dia nampak Nabi Muhammad menunaikan solat, dia mahu mengempuk kepala Nabi dengan batu. Dia pun datang kepada Nabi saw yang ketika itu baginda sedang solat, dia pun angkat batu untuk dihempap atas kepala Nabi. Namun, ketika dia angkat, tengkoknya secara tiba-tiba tidak dapat ditunduk, dan batu pun terlepas dari tangannya[18].

 

Setelah dia pulang kepada kaumnya, dia maklumkan hal itu kepada mereka. Ada seorang MAKZUM yang lain (qurtubi: namanya AL-WALID BIN AL-MUGHIRAH[19]) pula kata: Aku pasti akan membunuhnya dengan batu ini. Dia pun pergi. Tiba-tiba Allah butakan kedua matanya[20].

 

Dalam ZAD AL-MASIR, dinyatakan bahawa selepas matanya dibutakan oleh Allah, dia pun pulang berjumpa dengan kaumnya. Maka turun ayat ini berkaitan dengan Abu Jahal, dan ayat ke-9 berkaitan dengan lelaki yang matanya dibutakan oleh Allah[21].

 

 

 

 

 

 



[1] Shihab:11/509 | Kasyaf:4/5

[2] Hamka:8/5972

[3] Shihab:11/508

[4] Usaimin:26

[5] Hamka:8/5972

[6] shihab:11/512

[7] Hamka:8/5972

[8] Shihab:11/508

[9] Shihab:11/510

[10] Zad:3/518

[11] Kasyaf:4/5

[12] Qurtubi:15/8

[13] Qurtubi:15/8

[14] Shihab:11/511

[15] Razi:26/254

[16] Hamka:8/5972

[17] Shihab:11/511

[18] Razi:26/254

[19] Qurtubi:15/7

[20] Kasyaf:4/6

[21] Zad:3/518

YASIN 9

    YASIN 36:9   وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ ...